Berminat mempelajari Seni Bela Diri Perguruan Tiga Serangkai ?

Gelanggang Utama : No 8 , Jalan KJ52 , Taman Kerubong Jaya , 75250 , Melaka , Malaysia .
Untuk Buka Gelanggang atau menjadi ahli Persatuan Seni Silat Perguruan Tiga Serangkai ,
boleh hubungi kami melalui nombor / email / facebook di bawah :

Phone number : 0142677784 , 0176478358
Email : pssp3sm@gmail.com

Tuesday 9 October 2012

'Tangani dengan Kepayahan'

*Kenangan : majalah Seni BelaDiri : January 2005

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada pembaca - pembaca sekalian . Malam ni selepas selesai tugasan harian saya , dapat saya menulis kembali di blog rasmi Persatuan Seni Silat Perguruan Tiga Serangkai ini . Kali ni , ingin saya coretkan sedikit suka duka kisah Guru Utama Persatuan Atok Shah Putra dalam mengembangkan Seni Silatnya ini . 
  
  Zulkifli Md Shah , 40 , adalah nama sebenar Guru Utama Persatuan Seni Silat ini yang lebih mesra dengan Gelaran Atok .. Nama beliau mungkin tidak tidak terpahat lagi dalam barisan guru beladiri luar bumi Hang Tuah , namun perjalanan beliau sepertimana guru - guru beladiri yang lain , Tidak senang , tidak mudah .

  Susur galur keturunan dalam dunia persilatan menjadi sandaran utama dalam mengenal pasti asal usul guru guru . Ia dianggap sudah mempunyai baka, bukti (dari sejarah pendekar) dan ilmunya tidak dipertikai .

  Dalam kisah Atok Shah Putra , susur galur tidak dapat dikesan kerana ayahanda beliau meninggal dunia ketika beliau berusia 10 tahun . Yang diketahui , ayahnya berketurunan Bugis dan adalah guru silat yang mengajar sendeng dan kuntau . Sungguhpun begitu , kenangan bersama ayah walaupun seberapa ketika tetap terpahat . Ketika berusia 9 tahun , beliau melihat ayahnya mengajar lima murid termasuk dua abangnya , Yusof dan Mat Som .

  ''Depan mata saya sendiri kehebatan ayah terselah. Dalam satu sesi tamat latihan , ayah telah menunjukkan pukulan jarak jauh dengan memecahkan bahagian tengah batang tiang elektrik . '' Saya sememangnya lasak , tidur pun lasak . Satu malam semasa sedang tidur , api menyambar sebahagian rumah . Saya terpinga - pinga dan ketika itu melihat ayah tepuk tangan dan api padam serta merta, '' cerita Atok ..

  Selain mengajar silat , Atok turut mengetahui ayah beliau boleh mengubati orang secara tradisional . Satu perkejaan yang dilakukan oleh ayah beliau adalah menyelam dalam sungai untuk mengambil pasir .

  Ketika berusia 10 tahun , ayahanda beliau meninggal dunia dan meninggalkan balu Norliah Sari dengan sembilan anak . Atok anak bongsu . Kepayahan hidup cukup terasa. Ibu beliau makin berumur dan beban menanggung anak - anak yang makin membesar . Dua tahun kemudian , Atok terpaksa meninggalkan ibunya kerana mengikut abang , Mat Som yang tinggal di Pantai Dalam , Kuala Lumpur .
  Untuk menyara diri , Mat Som mencari rezeki tambahan dengan membuka gelanggang depan rumah . Perbuatan yang pernah dilakukan ayahandanya . 

    Atok kali ni enggan berada di luar gelanggang sebagai penonton . Beliau turut serta sebagai anak murid .
''Abang saya mengajar taekwando, silat dan tomoi. Saya tidak tahu dari mana beliau belajar , tapi dia seorang perantau dan pasti belajar ketika dalam perantauan, '' kata Atok.

  Aliran pertama yang diajar oleh abangnya ialah persilatan Helang Putih yang mengambil masa tiga tahun .Sesudah itu diajar taekwando selama setahun . '' Saya tidak tahu dari mana abang belajar taekwando , Mungkin di Indonesia kerana beliau banyak menghabiskan masa belajar Beladiri di negara jiran itu '' , katanya .

  Abang Atok Shah Putra inginkan adiknya masak dalam ilmu bela diri . Lalu menghantar beliau ke Thailand untuk mempelajari Tomoi . Selama lima tahun di Thailand , Atok dilatih oleh guru bernama Chelas .
Dengan ilmu di dada itu , Atok melangkah pulang ke Tanah Merah Melaka . Semangat anak muda berkobar - kobar untuk menyebar warisan tradisi bangsa di kampung . Tetapi , dugaan dan cabaran mendatang .

  Gelanggang dibuka secara kecil kecilan dan anak murid pula tidak ramai . Dalam berkumpulan kecil , masyarakat bukan hendak memberi dorongan tetapi mempertikai usia Atok dan pendaftaran persatuan ini .
Sewajarnya , isu usia tidak wajar dipersoalkan , namun adakala kerja baik , hanya dilihat dari segi keburukan . Mungkin juga dalam kampung itu sudah ada gelanggang silat , membuat kumpulan kecil ini tidak disenangi ..

  Sungguhpun begitu , Atok cuba bertahan . Namun hanya sampai tiga kali percubaannya membuka gelanggang dengan lapan anak murid dilakukan . Sesudah itu , beliau terpaksa melupakan hasratnya membuka gelanggang kerana ianya hanya menimbulkan perselisihan faham dengan  masyarakat setempat .

   Selama empat tahun Atok menyepi , sebelum merantau ke Pahang . Di negeri itu , beliau tinggal bersama bapa mentua , Daud Johari di Felda Bukit Puchong , Triang . Dalam masa setahun , bapa mentua mula mengetahui menantunya seorang guru silat . Tanpa berlengah , beliau meminta Atok untuk buka gelanggang di sana . Bapa mentuanya sedia menjadi pengerusi .

  Gelanggang dibuka dan lebih 30 anak murid berlatih dengan konsisten . Tetapi ianya hanya bertahan setahun apabila sebuah pergururan yang popular dengan tempur membuka gelanggang .
Jadi ramailah anak murid berhijrah kerana minat pada tempur . Beliau mengajar seni .

  Menerima hakikat itu , Atok kembali ke Melaka , dan menetap di Taman Seri Kerubong . Ada jiran yang mengetahuinya Guru SIlat telah memintanya membuka gelanggang .
Gelanggang dibuka di Garaj Kereta , dan beliau mempunyai tiga anak murid sebagai permulaan . Enggan terkena isu lama , Atok mendaftarkan perguruan ini dan setelah setahun perguruan inipun sah mengikut undang - undang .

  Kemudian dibuka pula Gelanggang di kawasan surau Seri Kerubong . Mulanya mendapat sambutan . Tetapi lama kelamaan murid makin kurang kerana menganggap yuran bulanan sebanyak rm15 mahal. Akhirnya harga diturunkan sehingga RM8 , namun tetap dianggap mahal oleh masyarakat . Menurut beliau , untuk menggerakkan persatuan , semua memerlukan wang . Akhirnya persatuan mencari sumber dengan memperagakan persembahan silat pada majlis perkahwinan .
 
   Mula - mula ada pihak yang membayar , kemudian ada pihak yang menawarkan janji manis bila minta persembahan percuma . Akibatnya , janji tinggal janji . Gelanggang di surau tutup dan Atok kembali mengajar di garaj.

  Menurut Atok , masalah tidak terhenti begitu sahaja . Dalam keadaan itu , muncul dua pemuda mencabar dengan penjelasan hanya sanggup berguru jika dapat ditewaskan . Menurut Atok , beliau cuba menasihatkan dua pemuda itu tetapi mereka tetap berdegil dengan keputusan itu .

  ''Saya rasa cukup berat tetapi terima juga cabaran mereka . Dengan satu tendangan , pemuda itu tersungkur hujung garaj dan tidak bangun lagi . Manakala seorang lagi saya tangkap kepala dan hentak dengan lutut terus menyerah. Namun selepas itu , mereka terus menghilangkan diri , '' cerita Atok .

  Mulut manusia sememangnya sukar ditutupi . Hingga ada cerita didengar , Atok boleh buat orang jadi gila ketika mengajar . '' Saya hairan dengan dakwaan itu kerana saya hanya mengajar fizikal , tak sepotong ayat pun saya beri untuk dijadikan amalan kepada anak murid , '' tegasnya .

  Tiga tahun kemudian , Atok berpindah ke Taman Kerubong Jayadan menjadi keluarga pertama menetap di situ . '' Masa itu tiada orang di sini jadi saya hanya mengajar jurulatih - jurulatih yang lama . Gelanggang yang pertama adalah  di Jalan Mati. Hampir setahun , saya dapat 30 murid . '' Kemudian kami buka di sekolah - sekolah dan memperolehi 40 orang murid ,'' senyum seketika beliau sambil bercerita .

  Sekarang , Atok sudah mempunyai lebih 10 orang jurulatih dan lebih 100 orang murid . Sebuah gelanggang di padang permainan turut diperoleh dari sumbangan pihak tertentu . Atok sudahpun mempunyai tiga anak hasil perkahwinan dengan Faridah Daud . 42 .  Tiga anak mereka , Nuur Ullfah , Nuur Farahani Illiana dan Nur Izzah Najwa .

  ''Saya tahu masalah itu sebahagian ujian . Ia tiada penghujung dan saya tetap akan hadapinya. Untuk berjaya bukan mudah apatah lagi bila ada kena mengena dengan persilatan , Ramai yang hendak menjatuhkan dari membangun ,'' tegas beliau .

  Sehubungan itu beliau menasihatkan Guru Muda agar jangan mudah berputus asa . Terima hakikat bahawa tiada jalan mudah mahupun jalan pintas . '' Adakala hendak putus asa tetapi bila ia menjadi hendak bukan benar benar menjadi . Yang pasti kita kena bersemangat waja kerana belum tentu pihak tertentu termasuk pihak bangsa sendiri akam menerima beladiri bangsa sendiri. Saya bersyukur kerana memiliki isteri yang memahami perjuangan saya, jika tidak ... entahlah,'' senyum sambil bercerita beliau .

  Akhir sekali , kenapa nama Seni Silat Tiga Serangkai ?
Atok menjawab . mudah ''Ia dari TAEKWANDO , SILAT dan TOMOI .


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...